Kini, setelah aku sendiri menjeruskan diri ke dalam kerjaya ini, barulah aku tahu macamana rasanya menjadi seorang setiausaha. Rupa-rupanya tak semudah yang disangkakan. Ada tanggungjawab dan amanah yang harus dijaga sebaik mungkin. Menjadi orang paling hampir dengan ketua dan menjaga semua kepentingan beliau dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara memerlukan kesabaran yang tinggi. Ada isu-isu tertentu yang harus dirahsiakan. Ada masa perlu mempertahankan kedudukannya sebagai seorang ketua.
Apa yang ditampilkan dan cara berkomunikasi akan mewakili imej syarikat dan ketua kita. Jadi tentunya setiausaha perlu sentiasa memberi ruang keselesaan kepada tetamu walaupun adakala ragam tetamu yang pelbagai memualkan mata dan telinga. Belum lagi bila berhadapan dengan tetamu yang tidak diundang. Terasa tahap kesabaran senipis kulit bawang. Itu baru satu bab.
Seperkara lagi yang akan dilalui oleh seorang setiausaha adalah kerenah ketuanya. Kalau dapat yang baik hati dan bertimbang rasa, itu dikira bonus. Tetapi kena hati-hati kerana seringkali kebaikan yang ditunjukkan oleh ketua kita akan disalah erti oleh kakitangan yang lain. Mula lah ada cerita-cerita yang kurang enak singgah di telinga apatah lagi terpaksa mengikut ke mana ketuanya pergi. Makin seronak kakitangan yang lain bergosip.
Kalau dapat yang panas baran dan garang pula, perlu ada kekuatan mental. Aku selalu juga berhadapan dengan masalah sebegini. Tebal cuping telinga mendengar irama-irama bebelannya. Yang paling tercabar apabila kemarahan terhadap orang lain dilepaskan kepada kita. Aduh! Berasap telinga dibuatnya. Mahu atau tidak terpaksa juga ditelan.
Itu belum lagi perkara-perkara yang melibat keperluan isteri dan anak-anak. Dari menghafal nombor kad pengenalan, nombor akaun, pembantu rumah lari, pemandu lambat hinggalah bayaran bil-bil utiliti. Semuanya tanggungjawab seorang setiausaha.
Terlintas juga di kepala, ini jawatan Secretary atau Seksadiri??? Adehhh....