Di sinilah aku coretkan kisah dan pengalaman
perjalanan sebuah kehidupan

:: AWIEN YAWARIS ::

LOGin

Friday, June 25, 2010

Seperti Baru Semalam


25.06.10......Hari ini genap 3 tahun pemergian insan yang amat aku cintai dan sayangi. Usai solat subuh, ku capai surah Yassin yang tertera namanya di muka hadapan lantas ku lantunkan suara ku yang sedikit bergetar membaca kalimah-kalimah suci Allah hingga selesai. Doa ku panjatkan untuk mu juga untuk ahli keluarga yang lain yagn telah pergi menemui sang Pencipta. Air jernih yang melewati pipi ini mengiring lafaz doaku. Sayu dah pilu menyelubungi segenap pelusuk hati ku ini.

Segala keperluan telah ku siapkan dari malam tadi lagi. Sebotal air tahlil dan sebaku bunga-bungaan semuanya telah ku masukkan ke dalam kereta. Seawal 7.00 pagi aku memandu ke Tanah Perkuburan Kiara. Jarak dari dan tanah perkuburan tidaklah berapa jauh cuma kadang kala kesesakan jalan raya menyebabkan pergerakan agak lambat sedikit. Nasib baik keadaan jalanraya pagi ini lancar. Sekitar 7.15 pagi aku sudah sampai ke destinasi yang dituju. Tempat ini bukan asing bagi ku. Setiap pagi Jumaat aku akan berkunjung ke sini. Berada di hadapan pusaranya membuat hati rasa tenang, mampu meleraikan rasa rindu yang bersarang di hati. Di kala aku sunyi, di sinilah akan ku habis masaku. Sekali lagi surah Yassin dan doa ku bacakan untuknya. Ku bersihkan persekitaran pusaranya sebelum ku sirami dengan air tahlil dan ku taburi dengan bunga yang dibawa dari rumah. Teringat aku pada perbualan dengan arwah ketika melewati tanah perkuburan ini suatu ketika dulu." Ma...kalau papa dah tiada nanti..mama jangan lupa datang ziarah kubur papa yer...mengaji untuk papa tau" sambil tangannya erat menggenggam jemariku. Masih jelas kedengaran kata-katanya. Waktu itu ku rasa ia cuma perbualan kosong Tak dapat ku bendung airmata ini dari terus menbasahi pipi. Sesungguhnya ia bagai sebuah mempi ngeri buatku. Namun takdir Tuhan tak siapa dapat menafikanya. Arwah pergi setelah 3 minggu berjuang untuk hidup. Dia mendapat serangan jantung yang mengakibatkan 90% jantungnya rosak. Selama itulah aku menemaninya setiap saat tanpa mengira penat. Dia pergi dalam pangkuanku dengan tenang. Waktu itu terasa seperti hilang nyawaku ini. Terasa seolah-olah dunia ni gelap. Bergeter seluruh tubuh ku sewaktu doktor mengesahkan dia sudah tiada lagi. Aku redha walaupun ianya cukup pahit untuk ditelan.

Bukan mudah dan bukan sedikit kekuatan serta ketabahan yang harus aku cari untuk mengharungi saat kehilangannya. Jiwa terasa kosong dan hari-hari yang dilalui tanpanya amat sunyi sekali. Bagi ku dia bukan hanya seorang suami, dia adalah teman, sahabat dan pelindungku. Ku cari kekuatan di segenap ruang. Mujur keluarga dan teman-teman sentiasa memberi aku semangat. Berbekalkan cinta, kasih sayang, semangat yang ditinggalkan serta bahagia yang ku kecapi bersamanya, ku gagahi juga untuk terus menjalani kehidupan yang mendatang.

Terima kasih Tuhan memberi aku kesempatan untuk menjadi isterinya dan memberi aku rasa bahagia disampingnya. Terima kasih Tuhan kerana meminjamkan dirinya seketika buatku. Walaupun cuma 3 tahun aku hidup bersamanya, tapi aku tetap bersyukur padaMu Ya Allah kerana memberi aku kesempatan ini. Arwah adalah anugerah paling indah dalam kehidupanku. Seperti baru semalam dia pergi meninggalkan aku dan keluarga. Seperti baru semalam aku bergurau senda dengannya. Segala-galanya seperti baru semalam berlaku.

Ku tinggalkan pusaranya dengan doa agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di SyurgaNya bersama dengan orang-orang yang soleh. Ameen..Ameen...Ya Robbal A'alamin....
*************************************
Papa...cinta, kasih sayang dan bahagia yang papa tinggalkan untuk mama....ianya sentiasa segar dan mekar dalam hati mama...terima kasih sayang....


No comments:

Post a Comment

Catatkan apa yang anda fikir..