Di sinilah aku coretkan kisah dan pengalaman
perjalanan sebuah kehidupan

:: AWIEN YAWARIS ::

LOGin

Monday, August 16, 2010

Salam Ramadhan


15.08.10 Salam Ramadhan. Ketibaanmu ku nanti dengan penuh rasa rindu. Sudah 5 hari kita menjalani ibadah puasa. Macam-macam gelagat yang akan kita jumpa sepanjang bulan ramadhan ini. Dari golongan kanak-kanak hinggalah yang sudah dewasa. Semalam dan hari ini, rumah emak dikunjungi oleh anak cucu yang datang untuk berbuka bersama-sama ahli keluarga yang lain. Seronok dapat berbuka puasa beramai-ramai dan yang paling bestnyer juadah yang dihidangkan adalah dari air tangan emak. Alhamdulillah dan syukur kerana masih berkesempatan untuk merasai keenakan masakan emak. Terima kasih emak.

Aku pula sibuk melayan kerenah anak-anak sedara yang baru nak belajar berpuasa. Pelbagai ragam anak-anak kecik ini. Dari bangun sahur hingga lah waktu berbuka...macam-macam ragam mereka. Susahnyer la nak mengejutkan mereka dari tidur untuk bersahur. Ada yang mula merengek, ada yang perlu diangkat dr katil dan ada juga yang cuma sekali kejut sudah bangun. Bila sudah bangun, ada yang termenung jauh memandang makanan di pinggan. Kesian pun ada melihat mereka. Di siang harinya pula, aku terpaksa menjawab soalan dari anak-anak kecik ini. Soalan yang paling popular adalah "bila boleh buka pose", "dah pukul berapa sekarang", "dah boleh berbuka ke belum". Adoiii...jenuh aku nak menjawapnya. Yang asyik berulang alik ke bilik air pun ada jugak. Konon nak basuh muka, biar segar sikit. Entah basuh muka atau minum..aku pun tak tau. Itu belum lagi yang termakan, konon terlupa dia puasa. Bila tiba waktu berbuka semua dah tak sabar -sabar. Dua, tiga jenis air disusun depan mata. Takut-takut nanti tak dapat nak rasa semua. Heheheh...macam-macam peel diorang ni. Lucu dan kelakar tapi seronok melayan kerenah mereka.

Tapi sebenarnya, aku dulu pun masa kecik-kecik macam itu jugak. Rasa macam flash-back ragam aku masa baru-baru nak belajar berpuasa. Arwah ayah paling rajin melayan kerenah aku. Macam-macam dijanjikannya untuk aku, janji aku mahu berpuasa. Tersenyum sendiri bila mengingati kenangan lama. Terasa rindu pula pada arwah ayah. Hanya doa yang mampu aku kirimkan untuknya. Al-Fatihah untuk mu Ayah...

Apa pun aku mengharapkan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang sebelumnya. Semoga kita semua mendapat keberkatan dari bulan yang penuh Barakah ini dan dapat menyempurnakan ibadah hingga ke akhirnya. Aku juga berharap agar dapat dipertemukan semula dengan Ramadhan yang akan datang. Insya Allah....


Friday, July 23, 2010

Selamat Hari Lahir


23.07.10.....Kebiasaanya aku sering mengucapkan ucapan harijadi pada orang lain. Jarang sekali aku ucapkan ucapan harijadi untuk diri sendiri. Selamat Hari Lahir buatku. Syukur padaMu Ya Allah kerana memberi kesempatan untuk aku bernafas dan menikmati kehidupan ini. Sudah 35 tahun aku merasai nikmat yang Kau berikan ini. Banyak yang aku pelajari dalam menyusuri kematangan hidup ini. Suka-duka, senyum tangis, derita bahagia ku lalui dengan keizinan dariMu Ya Allah. Itu adalah perjalanan takdir yang telah Engkau rencanakan untuk ku. Aku menerima dengan penuh rasa redha.

Harapan ku di hari ulang tahun kelahiran ku ini agar aku dapat mencari kesempurnaan dalam meniti kehidupan yang mendatang. Menjadi anak yang soleh untuk ibubapa, menjadi adik dan kakak yang terbaik dalam keluarga, menjadi rakan, sahabat, teman yang menyenangkan untuk orang sekeliling, menjadi pekerja yang dedekasi terhadap majikan dan yang penting sekali menjadi hamba yang sentiasa patuh akan perintahNya.

Aku juga berdoa agar Allah panjangkan umur ku, memberi kesihatan yang baik, dilimpahi rezeki dan mendapat keberkatanNya, dirahmati dan sentiasa di selubungi bahagia dunia dan akhirat.

Kepada keluarga dan rakan taulan yang sentiasa bersamaku, yang memberikan ucapan selamat, hanya terima kasih yang mampu aku balas. Sememangnya kalian insan-insan yang sentiasa menjadikan hidupku dipenuhi dengan warna-warna kehidupan. Kalian membuat diriku sentiasa dihargai dan disayangi....Terima Kasih semua. Aku amat menghargainya. Dicelah-celah kegembiraan ini, ada sesuatu yang aku rindukan...ucapan dari orang yang amat aku sayangi, arwah suami ku. Andai dia sini, pasti dialah insan pertama yang akan meraikan harijadi ku ini. Tak mengapalah...memori bersamanya meraikan harijadiku sentiasa segar dalam ingatan. Itu sudah cukup bagiku.

Bertambahnya angka dalam umur ku, bermakna aku semakin dewasa. Biarlah kedewasaan ini seiring dengan perlakuan serta pemikiran yang matang. AWIEN.......SELAMAT HARI LAHIR KE-35








Wednesday, July 14, 2010

Emosi di jalanraya....



14.07.10....Macam biasa aku memulakan hari dengan bergegas ke pejabat. Semestinya lah aku akan melalui jalanraya yang diisi padat dengan kenderaan pelbagai jenis dan saiz. Berbagai gelagat dan ragam manusia yang dapat ditonton sepanjang perjalanan aku ke pejabat. Keadaan jalanraya di awal pagi biasanya adalah sesak. Makanya ramailah pemandu yang melakukan macam-macam perkara. Ada yang bersarapan pagi, membaca suratkhabar, yang perempuan pula masih sempat lagi bersolek dan berhias. Ada juga si isteri yang lena tidur membiarkan si suami memandu dengan riak muka yang mencuka. Bagi pasangan kekasih (rasa2nyer la) asyik berbual sambil melemparkan senyuman sesama sendiri. Aku pula lebih suka mengaktifkan FB dan melayan lagu-lagu yang ke udara di corong radio kereta.

Tak kurang juga ada pemandu yang memandu sesuka hati seolah-olah jalanraya itu hanya untuk dia. Sesuka hati untuk memotong dan mencilok di tengah-tengah deretan kereta yang lain. Selalunya akan kelihatan pemandu -pemandu menunjukkan isyarat tidak berpuas hati atau membunyikan horn. Apatah lagi jika hari itu sudah terlambat atau mempunyai urusan penting, pastinya semua menjadi serba tidak kena. Banyak emosi yang dipertontonkan oleh mereka. Ada yang marah, ada yang seperti tiada perasaan dan ada juga yang lebih sabar dan rileks.

Abang-abang trafik juga mempamerkan gelagat dan emosi yang tersendiri. Ada yang bersemangat untuk mengawal keadaan lalulintas yang sesak. Ada juga yang sekadar berdiri memerhati persekitaran.

Bak kata Arwah Pak Atan dalam iklan di Astro...MAcaM-MacaM AdA.........


Friday, June 25, 2010

Seperti Baru Semalam


25.06.10......Hari ini genap 3 tahun pemergian insan yang amat aku cintai dan sayangi. Usai solat subuh, ku capai surah Yassin yang tertera namanya di muka hadapan lantas ku lantunkan suara ku yang sedikit bergetar membaca kalimah-kalimah suci Allah hingga selesai. Doa ku panjatkan untuk mu juga untuk ahli keluarga yang lain yagn telah pergi menemui sang Pencipta. Air jernih yang melewati pipi ini mengiring lafaz doaku. Sayu dah pilu menyelubungi segenap pelusuk hati ku ini.

Segala keperluan telah ku siapkan dari malam tadi lagi. Sebotal air tahlil dan sebaku bunga-bungaan semuanya telah ku masukkan ke dalam kereta. Seawal 7.00 pagi aku memandu ke Tanah Perkuburan Kiara. Jarak dari dan tanah perkuburan tidaklah berapa jauh cuma kadang kala kesesakan jalan raya menyebabkan pergerakan agak lambat sedikit. Nasib baik keadaan jalanraya pagi ini lancar. Sekitar 7.15 pagi aku sudah sampai ke destinasi yang dituju. Tempat ini bukan asing bagi ku. Setiap pagi Jumaat aku akan berkunjung ke sini. Berada di hadapan pusaranya membuat hati rasa tenang, mampu meleraikan rasa rindu yang bersarang di hati. Di kala aku sunyi, di sinilah akan ku habis masaku. Sekali lagi surah Yassin dan doa ku bacakan untuknya. Ku bersihkan persekitaran pusaranya sebelum ku sirami dengan air tahlil dan ku taburi dengan bunga yang dibawa dari rumah. Teringat aku pada perbualan dengan arwah ketika melewati tanah perkuburan ini suatu ketika dulu." Ma...kalau papa dah tiada nanti..mama jangan lupa datang ziarah kubur papa yer...mengaji untuk papa tau" sambil tangannya erat menggenggam jemariku. Masih jelas kedengaran kata-katanya. Waktu itu ku rasa ia cuma perbualan kosong Tak dapat ku bendung airmata ini dari terus menbasahi pipi. Sesungguhnya ia bagai sebuah mempi ngeri buatku. Namun takdir Tuhan tak siapa dapat menafikanya. Arwah pergi setelah 3 minggu berjuang untuk hidup. Dia mendapat serangan jantung yang mengakibatkan 90% jantungnya rosak. Selama itulah aku menemaninya setiap saat tanpa mengira penat. Dia pergi dalam pangkuanku dengan tenang. Waktu itu terasa seperti hilang nyawaku ini. Terasa seolah-olah dunia ni gelap. Bergeter seluruh tubuh ku sewaktu doktor mengesahkan dia sudah tiada lagi. Aku redha walaupun ianya cukup pahit untuk ditelan.

Bukan mudah dan bukan sedikit kekuatan serta ketabahan yang harus aku cari untuk mengharungi saat kehilangannya. Jiwa terasa kosong dan hari-hari yang dilalui tanpanya amat sunyi sekali. Bagi ku dia bukan hanya seorang suami, dia adalah teman, sahabat dan pelindungku. Ku cari kekuatan di segenap ruang. Mujur keluarga dan teman-teman sentiasa memberi aku semangat. Berbekalkan cinta, kasih sayang, semangat yang ditinggalkan serta bahagia yang ku kecapi bersamanya, ku gagahi juga untuk terus menjalani kehidupan yang mendatang.

Terima kasih Tuhan memberi aku kesempatan untuk menjadi isterinya dan memberi aku rasa bahagia disampingnya. Terima kasih Tuhan kerana meminjamkan dirinya seketika buatku. Walaupun cuma 3 tahun aku hidup bersamanya, tapi aku tetap bersyukur padaMu Ya Allah kerana memberi aku kesempatan ini. Arwah adalah anugerah paling indah dalam kehidupanku. Seperti baru semalam dia pergi meninggalkan aku dan keluarga. Seperti baru semalam aku bergurau senda dengannya. Segala-galanya seperti baru semalam berlaku.

Ku tinggalkan pusaranya dengan doa agar Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di SyurgaNya bersama dengan orang-orang yang soleh. Ameen..Ameen...Ya Robbal A'alamin....
*************************************
Papa...cinta, kasih sayang dan bahagia yang papa tinggalkan untuk mama....ianya sentiasa segar dan mekar dalam hati mama...terima kasih sayang....


Saturday, June 19, 2010

Kisah semalam...

19.06.10....lebih satu bulan aku tak menjenguk ke blog ni...tuntutan kerja dan urusan yang dirancang mahupun tidak dirancang membuatkan masa yang diberikan 24 jam terasa singkat sangat. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, sedar-sedar beralih bulan blog ini ditinggalkan. Baru malam ini aku dapat mencuri ruang masa yang padat untuk ku kongsikan kisah suka dan duka yg dilalui untuk tempoh itu.

Bermula dengan mak dimasukkan ke hospital secara tiba-tiba kerana mengalami kesukaran bernafas. Cuak dan panik juga ketika itu kerana sebelum ini mak tak pernah ada masalah sebegitu. Mujur aku dapat mengawal keadaan dan bertindak pantas untuk menghantar mak ke hospital. Keputusan yang bijak aku rasa. Bagi aku dalam apa juga keadaan mental harus kuat untuk mengawal emosi. Mak mengalami komplikasi pada jantungnya. Seminggu aku berkampung di hospital menjaga mak walaupun ketika itu aku sedang mengalami demam yg teruk. Namun demi orang yang aku kasihi, aku buang jauh-jauh rasa lemah dan tak berdaya itu. Dari seorang yang memang tak suka makan ubat, ku telan bebarapa biji panadol untuk menidakkan demam ku itu. Beralaskan kerusi yg keras, aku jadikan ia tempat tidur ku sepanjang 1 minggu itu...

Dalam beberapa hari ketika memenani emak di hospital, tiba-tiba adik bongsuku pulak disahkan positive HINI..2nd stage kata doctor...Aduiii....lagi sekali rasa panik singgah di benak hati..berkejar ke dua hospital yang berbeza..Mak di PPUM, adik pula di KPG Selangor amat memenatkan. Semua anggota keluarga terpaksa diberi suntikan vaksin utk mencegah dari jangkitan HINI. Adik terpaksa dikuarantin. Nak melawat dia juga agak sukar. Alhamdulillah..beberapa hari selepas mendapat rawatan dia disahkan negative dari virus itu.

Sepanjang waktu itu aku tidak ke pejabat. Setelah bercuti agak lama, aku mula ke pejabat, itu dia aii...bertimbun-timbun kerja yang harus aku selesaikan. Mulalah terasa tekanan atas bebanan kerja ini. Sekali lagi aku kena mengawal emosi dan mental supaya dapat melaksanakan tanggjawab kerja dengan sempurna. Dalam keadaan kesihatan yang masih tidak sihat sepenuhnya, aku gagahi juga untuk melakukan semuanya dengan baik.

Dalam kesibukan itu pula, teman baik ku yang 18 tahun tidak bertemu berkunjung ke daerah ini atas tugasan pengajiannya. Meminta aku membantunya sepanjang beliau berada di sini. Sebagai seorang teman baik, pastinya aku berbesar hati seandai dapat membantunya apa yang mampu. Ku bawa dia ke destinasi yang dipinta sambil meraikan kedatangannya ke sini. Pada aku itu bukan satu beban tetapi rasa tanggungjawab dan amanah.

Tanggungjawab harus dilaksanakan dengan ikhlas dan sebaik mungkin tidak kira kepada siapa sama ada ibubapa, ahli keluarga, sahabat handai, rakan pejabat atau siapa juga. Bagi diriku asalkan orang-orang yg aku sayangi, kasihi, sanjungi dan homati selesa dan bahagia...itulah erti kegembiraan dan kejayaanku. Setidak-tidaknya aku bisa tersenyum untuk mereka......yang penting setiap dari itu haruslah berlandaskan keikhlasan.


********************





Tuesday, May 4, 2010

Untukmu Ibu

03.05.10.....Seawal 7.30 pagi aku sudah mengatur langkah menemani mak ke hospital. Hari ini mak akan daftar masuk di HKL sebelum menjalani pembedahan membuang batu karang di dalam buah pinggang. Seumur hidup mak tak pernah menjalani sebarang pembedahan. Pada mak pengalaman melahirkan 11 orang anak lebih mudah daripada pembedahan ini. Ada riak gusar dan gementar di wajahnya. Aku tahu pasti mak terlalu memikirkan tentang pembedahan itu apa tah lagi keadaan kesihatanya yang tidak begitu baik.

Proses daftar masuk ke HKL selesai walaupun aku sedikit beremosi dengan kakitangannya. Hati berbisik ‘’Pagi-pagi tak elok marah-marah apatah lagi semua yang aku buat untuk mak..jadi kena buat dengan ikhlas baru boleh dapat keberkatanNya”. Nasib baik aku dapat mengawal emosi ku ini..

Seharian menemani mak, walaupun suasananya agak sedikit bosan tapi aku gembira. Bila dihitung mak menjaga aku sejak dari dalam perut hingga sekarang, rasanya sebesar zarah pun tidak dapat ku balas. Memandang wajah tuanya di kala dia tidur membuatkan hati jadi sayu. Terlalu banyak onak dan duri yang ditempuh sepanjang hidupnya. Pengalaman membesarkan anak-anak seorang diri setelah suami tercinta dijemput oleh Allah SWT di umur yang muda (42 thn) amat memedihkan. Difitnah, dicaci, dihina dan di pandang serong oleh masyarakat membuatkan diri mak semakin cekal. Semua dilakukan demi anak-anak. Dialah emak, dialah ayah. Seingat aku, tidak pernah sekali pun melihat mak menangis di hadapan anak-anak. Mak sentiasa nampak kuat walaupun di hati dia merintih sendirian.

Kini giliran aku dan adik beradik yang lain menzahirkan rasa cinta, kasih dan sayang juga terima kasih pada mak. Mujur semua adik beradik tidak pernah merasa beban untuk menjaga mak. Aku berkira-kira membuat kejutan untuk mak semperna Hari Ibu hujung minggu ini. Tapi yang paling ku harapkan semoga pembedahan mak esok berjalan lancar dan selamat. Sebelum ini mak mengalami komplikasi pada jantung dan paru-paru. Aku tidak putus-putus berdoa agar Allah permudahkan urusan ini dan keadaan mak juga baik. Semoga aku diberi kesempatan untuk berbakti pada mak. Biarlah mak merasa bahagia dalam meniti sia-sia kehidupanya.

Diwaktu kisah ini ku lakarkan, aku baru saja pulang dari hospital. Esok pagi-pagi aku harus ke sana lagi dengan membawa menu yang dipinta oleh mak. Makanya aku harus tidur awal supaya mudah untuk aku bangun esok pagi. Selamat malam…


*****************************

Ibu….engkaulah ratu dihatiku…engkaulah kekuatanku...engkaulah nyawaku. Terima kasih ibu…


Thursday, April 22, 2010

Secretary atau Seksadiri


Dulu, zaman kanak-kanak, aku suka sangat melihat orang yang mempunyai kerjaya sebagai setiausaha atau lebih glamor dipanggil Secretary. Kerjanya nampak senang dan mudah. Masuk pejabat, duduk di meja dan mula touch up mana yang patut supaya berpenampilan menarik, cantik dan rapi. Yang pasti atas meja wajib ada cermin muka (biar senang nk tgk mana yg x betui kat muka). Tugasnya menjawab telefon, mengambil catatan trengkas, membancuh kopi dan mengemaskini temujanji ketua atau orang teratas dalam organisasi. Itu sahaja…senang je kan??

Kini, setelah aku sendiri menjeruskan diri ke dalam kerjaya ini, barulah aku tahu macamana rasanya menjadi seorang setiausaha. Rupa-rupanya tak semudah yang disangkakan. Ada tanggungjawab dan amanah yang harus dijaga sebaik mungkin. Menjadi orang paling hampir dengan ketua dan menjaga semua kepentingan beliau dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara memerlukan kesabaran yang tinggi. Ada isu-isu tertentu yang harus dirahsiakan. Ada masa perlu mempertahankan kedudukannya sebagai seorang ketua.

Apa yang ditampilkan dan cara berkomunikasi akan mewakili imej syarikat dan ketua kita. Jadi tentunya setiausaha perlu sentiasa memberi ruang keselesaan kepada tetamu walaupun adakala ragam tetamu yang pelbagai memualkan mata dan telinga. Belum lagi bila berhadapan dengan tetamu yang tidak diundang. Terasa tahap kesabaran senipis kulit bawang. Itu baru satu bab.

Seperkara lagi yang akan dilalui oleh seorang setiausaha adalah kerenah ketuanya. Kalau dapat yang baik hati dan bertimbang rasa, itu dikira bonus. Tetapi kena hati-hati kerana seringkali kebaikan yang ditunjukkan oleh ketua kita akan disalah erti oleh kakitangan yang lain. Mula lah ada cerita-cerita yang kurang enak singgah di telinga apatah lagi terpaksa mengikut ke mana ketuanya pergi. Makin seronak kakitangan yang lain bergosip.

Kalau dapat yang panas baran dan garang pula, perlu ada kekuatan mental. Aku selalu juga berhadapan dengan masalah sebegini. Tebal cuping telinga mendengar irama-irama bebelannya. Yang paling tercabar apabila kemarahan terhadap orang lain dilepaskan kepada kita. Aduh! Berasap telinga dibuatnya. Mahu atau tidak terpaksa juga ditelan.

Itu belum lagi perkara-perkara yang melibat keperluan isteri dan anak-anak. Dari menghafal nombor kad pengenalan, nombor akaun, pembantu rumah lari, pemandu lambat hinggalah bayaran bil-bil utiliti. Semuanya tanggungjawab seorang setiausaha.

Terlintas juga di kepala, ini jawatan Secretary atau Seksadiri??? Adehhh....

Saturday, April 17, 2010

Kaulah Sahabat


Malam tadi macam biasa aku membuka fb ku, seperti tak percaya bila membaca sebaris nama yang muncul di ruangan ‘friend request’. Ya Allah! Terkejut sungguh rasanyer kerana orang yang selama ini dicari tetiba muncul. Selama 18 tahun aku mencari, facebook menjadi perantara pertemuan ini. (sib baik ada fb kan) Kawan, teman, sahabat…entah apa lagi perkataan paling sesuai utk dilabelkan, yang pasti dia insan yang paling rapat dan memahami aku. Terima kasih..sangat-sangat aku menghargainyer….

Terkenang semula 1st day bergelar pelajar sekolah menengah dan menyesuaikan diri di asrama, dialah org pertama yang menjadi kawanku. Waktu itu aku cengeng sikit, asyik nak menangis jer..hehehe..maklum lah anak manja. Mujur la dia tinggal sebilik dgn aku, dialah tempat aku bercerita. Di sekolah kami ditempatkan dalam satu kelas yang sama dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Meja juga berdekatan. Ke mana saja dia pergi, pasti aku ada. Samada di sekolah atau di asrama, apa jua aktiviti, makan, study, mandi, basuh baju, tidur semuanya bersama (dah macam kembar siam lak aku rasa).

Mungkin ada chemistry yang menbuatkan aku cukup selesa bersahabat dengannya. Kelembutan tuturkata, ketulusan hati, kejujuran lakunya membuatkan aku amat menyenanginya. Banyak suka duka menjadi penuntut kami lalui bersama. Mengimbau memori didenda berjalan itik 12 kali mengelilingi court tennis dek kerana ponteng asrama sewaktu hari raya haji, didenda mencuci semua tandas dan bilik mandi di Aspuri kerana keluar dr asrama tanpa izin warden..(penat weii cuci toilet) semua kami lalui bersama tanpa ada rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

Tetapi setelah kami habis sekolah, hubungan yang erat itu seakan hambar. Mungkin kerana di waktu itu keterbatasan alat komunikasi menjadikan ia semakin jauh (dulu mana ada hp, tenet semua). Di tambah pula masing-masing sibuk memulakan kehidupan baru selepas bergelar pelajar sekolah. Aku terus ke Kuala Lumpur meneruskan pengajianku, dia pula menyertai kursus kejururawatan di Pulau Pinang. Jarak masa dan tempat menjadikan persahabatan ini terberhenti di situ. Namun dia sentiasa ada dalam hatiku dan aku pasti dia juga masih mengingati sahabatnya ini. Usaha aku untuk menjejakinya juga gagal kerana maklumat yang ada tidak membantu.

Kini, persahabatan itu menjadi lebih bernilai setelah bertahun terpisah. Terlalu banyak perkara yang ingin kami perkatakan, bukan sedikit cerita yang ingin kami kongsikan bersama, terlalu berat rasa rindu yang ingin kami leraikan. Memori lalu akan tetap diingat hingga kini dan pastinya akan sentiasa segar selamanya di hati………..

Terima kasih awak kerana menjadi teman dan sahabat saya………..

****

Life ends when you stop dreaming...hope ends when you stop believing...love ends when you stop caring...and friendship ends when you stop sharing.....

Thursday, April 15, 2010

Terima kasih MamatTua


Perjalanan pertama mengharungi dunia blog. Best sangat belajar camner nk buat blog dari orang yang dah pro ni. Belajar melalui dunia maya pulak tu...tekan-tekan...dah jadi blog...Tabik spring la aku dengan dia. Terima kasih MamatTua.

Pastinya akan ku jaga blog ini sebaik mungkin....

Bangga dan harapan...

Hari ini, bermula sejarah baru dalam dunia maya. Aku memulakan langkah dalam dunia blog. Beberapa catatan akan aku lakarkan di sini.

Pengkisahan di sini seumpama MEMORI DULU, KINI & SELAMANYA untuk kenangan di suatu masa nanti..